Batik Cirebon Dunia baru batik Malaysia

7 April 2013, Comments: 0

INDUSTRI fesyen tidak mungkin ‘hidup meriah’ tanpa wujudnya bidang tekstil. Proses pembuatan dan pengeluaran tekstil adalah peneraju utama dalam menghangatkan lagi dunia fesyen.

batik malaysia

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Namun, apabila meletakkan keunikanpabrik itu ‘di satu tempat’ atau di satu tahap saja, mana mungkin pengguna akan mengetahui keunikan dan kehebatannya. Bukan saja persepsinya juga mungkin bernada negatif, tetapi lebih malang lagi apabila keunikannya tenggelam akibat tanggapan salah.

Pabrik yang dimaksudkan ialah batik. Produk ‘dianugerahkan’ sebagai hasil warisan agung Malaysia itu mempunyai nilai yang tinggi berikutan proses menghasilkannya memerlukan fokus serta ketekunan yang tinggi, terutama apabila membabitkan lukisan tangan tanpa bantuan teknologi cetak mahupun digital.

Apa dikesali, ada pihak melabelkan batik Malaysia hanya sesuai untuk kelompok atau golongan pekerja tertentu biarpun hakikatnya, produk kebanggaan negara ini turut mencatatkan pelbagai evolusi termasuk menghiasi badan pengguna yang bercita rasa mewah dan pentingkan keselesaan dan peka aspek kualiti dan ciri eksklusifnya.

Nasib batik juga ada kaitan dengan senario hari ini juga tidak kurang menunjukkan masyarakat tempatan sibuk ‘mengagungkan’ fabrik luar negara seperti dari Perancis serta beberapa dari negara Eropah lain.

Justeru, pujian seharusnya diberikan apabila ada pihak yang terus berusaha memartabatkan batik Malaysia di peringkat antarabangsa, termasuk menjengah lokasi baru di luar negara. Usaha yang turut dimanfaatkan jenama rekaan batik terkenal, Meesha Sukira yang sebegitu ‘sibuk’ membawa hasil koleksi batik tangannya untuk menembusi pasaran tekstil luar iaitu di India.
Tidak mustahil andai hasil koleksinya dalam bentuk fabrik sehinggalah aksesori seperti tas tangan dan pakaian siap, turut menjadi sebahagian props atau produk dalam industri perfileman India yang serba hebat iaitu Bollywood.

Jenama yang berteraskan slogan ‘pengaruh semula jadi yang berteraskan inspirasi budaya’ (Influenced by nature inspired by culture) itu cuba sebaik mungkin untuk memartabatkan hasil kerja lukisan tangan batik ke India walaupun negara berkenaan terkenal sebagai pembekal tekstil terbesar di dunia.

Ketua Pengarah Urusan Cuff Link Sdn Bhd yang juga pemilik jenama Meesha Sukira, Michelle Lau, berkata India terkenal dengan pengeluaran fabrik kapas khususnya di Asia. Sungguhpun begitu, sebagai pembekal tekstil lukisan tangan atau batik di Malaysia ia bukan penghalang kepada Meesha Sukira untuk mencari pasaran lebih luas di negara berkenaan.

Katanya, India mempunyai kilang menghasilkan fabrik sendiri yang menjadi cabaran besar bagi Meesha Sukira.

Namun, bukan semudah itu kerana dalam proses merealisasikan usaha itu, pihaknya berdepan tamparan hebat termasuk persaingan dari aspek harga dan kualiti, berbanding dengan pasaran tekstil domestik di India sendiri.

Mengimbas kembali keupayaan Meesha Sukira menembusi India, Michelle berkata ia hasil daripada kepercayaan dan peluang yang sedaya upaya dimanfaatkan pihaknya.

“Peluang itu diberikan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kepada Meesha Sukira ketika berlangsungnya majlis pertunjukan fesyen – Malaysia Mumbai Showcase yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.

“Kerjasama antara jenama ini dengan ejen industri tekstil di India sekali gus membuka ruang untuk jenama tempatan menembusi pasaran tekstil bermula dengan Mumbai.

“Industri tekstil lukisan tangan batik dari jenama tempatan yang dibawa ke luar dilihat dapat memberi pilihan alternatif kepada pelanggan berdasarkan hasil reka cipta lukisan tangan batik dari Malaysia yang berkualiti tinggi dan ‘finished products’ (produk siap – pakaian),” katanya ketika ditemui di kilangnya Meesha Sukira & Waxwork di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Michelle tidak menafikan bahawa pasaran industri tekstil di India amat luas berdasarkan kepada bilangan penduduknya yang tinggi dan kuasa belian yang turut tinggi di negara yang terkenal dengan dunia hiburan Bollywoodnya.

Namun, sekurang-kurangnya, kehadiran batik lukisan tangan yang dibawa Meesha Sukira adalah pilihan alternatif untuk industri tekstil di India.

batik yang dihasilkan di India menggunakan cetakan mesin dan juga penggunaan teknologi digital diatas fabrik kapas. Apabila teknik itu digunakan maka hasilnya boleh didapati dalam kuantiti yang banyak semuanya sama.

“Ia ternyata amat berbeza dengan reka cipta batik hasil dari lukisan tangan yang lebih eksklusif dan asli yang mana setiap satu hasil reka cipta adalah berbeza tambah pula Meesha Shukira menampilkan fabrik jenis sutera untuk diketengahkan di India,” katanya yang mensasarkan golongan korporat dan profesional di India.

Aksesori hiasan batik

TIDAKKAH langkah menjengah pasaran India hanya menjanjikan kecewa berikutan status negara itu yang sememangnya diketahui kaya fabrik selain limpahan produk dari Eropah?

“Kami di Meesha Sukira percaya bahawa produk siap yang dihasilkan itu berkonsepkan moden dan kontemporari tetapi masih mengekalkan aspek teknikal tradisional dan unik, ada tempat dan permintaannya.

“Aspek itu mendorong kepada hasil yang berlainan di samping reka cipta tersendiri,” kata Michelle.

Ini boleh dilihat menerusi penghasilan koleksi batik Malaysia buatan tangan dengan reka bentuk ciptaan yang kebanyakannya diilhamkan menerusi pelbagai elemen antaranya – kayu tradisional, motif ukiran tradisional Malaysia, reka bentuk flora dan fauna dan menyesuaikannya dengan spektrum warna indah dan menarik.

Selain menghasilkan koleksi pakaian siap atau ‘ready -to-wear’ untuk lelaki dan wanita – kemeja, blaus minum petang, pakaian makan malam parti koktel, Meesha Sukira juga melengkapkan permintaan dengan menampilkan koleksi aksesori yang dihasilkan dari fabrik batik seperti beg tangan dan juga kasut.

“Diharapkan dengan usaha ini dapat membantu industri tekstil lukisan batik di Malaysia agar sentiasa berkembang maju hingga di peringkat dunia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat surel Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *